Isu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang belum mendapat penempatan
Sekitar 7000 orang guru Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) terus dirundung kekecewaan apabila sehingga kini penempatan mereka belum diumumkan oleh kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sebagai rekod, sebelum ini pihak KPM pernah berjanji untuk menempatkan graduan ini pada November 2011, Disember 2011 dan pada 10 Januari 2012. Kemudian yang terkini KPM melalui pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Ka Siong berjanji menyelesaikan masalah ini pada bulan Mac yang lalu. Namun sehingga artikel ini ditulis, perancangan tersebut nampaknya belum mampu sepenuhnya dimuktamadkan. Memetik kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi “Kita minta yang belum dapat penempatan kerja supaya bersabar kerana SPP sudah mendapat senarai semua IPTA untuk dipanggil temu duga. Apapun pelantikan itu akan dibuat berasaskan kepada kekosongan (di sekolah seluruh negara), opsyen dan cukup syarat kelayakan,” . Sabar tetap sabar. Namun jika sudah 10 bulan tamat belajar, namun belum mendapat berita yang positif daripada KPM, adakah para graduan ini akan di minta terus bersabar? Bagaimana dengan PTPTN? Bagaimana dengan harapan mereka, harapan keluarga dan harapan para pelajar (terutama sekolah-sekolah yang kekurangan guru). Relevankan lagi jawapan : DIMINTA BERSABAR?. Situasi ini menimbulkan banyak persoalan. Adakah ini disebabkan oleh faktor kekangan kewangan, ekoran daripada peruntukan yang besar dikeluarkan oleh kerajaan dalam menjayakan program B1RM untuk 5.2 juta isi rumah dan bantuan RM100 untuk pelajar yang dianggarkan mencapai 2.6 bilion!
Sesungguhnya, kelewatan dalam penempatan para graduan ISMP pendidikan ini membawa beberapa tanggapan persoalan:-
Contohnya isu yang pertama soal penghinaan kepada graduan ISMP yang sedang mengikuti pengajian di IPTA. Menteri Pelajaran dilaporkan telah membuat kenyataan yang menghiris hati mahasiswa dengan mengatakan mahasiswa perlu mencari kerja lain berikutan tiada kekosongan jawatan. Ia telah membawa kepada perhimpunan aman yang telah dianjurkan di Universiti Perguruan Sultan Idris yang dihadiri oleh ribuan mahasiswa.
Kemudian Perdana Menteri dalam bajet 2012, telah membuat pengumuman umur persaraan dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun semasa bajet 2012. Apakah kesan pertama dirasai oleh sektor pendidikan? Guru-guru junior terpaksa menunggu dan menunggu.
Kenyataan tidak konsisten KPM juga mengecewakan graduan ISMP. Termasuklah maklumat yang mengatakan graduan tidak perlu lagi mengisi borang. Tunggu sahaja dan mereka akan terus dipanggil temuduga. Termasuk juga persoalan pihak manakah yang sebenarnya menguruskan penempatan guru. KPM atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan penempatan guru.
Kadangkala tindakan yang dilakukan oleh KPM agak mengelirukan. Misalnya, bagi pengambilan 2007, berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia pengambilan dua kali mahasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Tanpa perlu mengikut proses biasa; tidak perlu mengisi borang UPU, tanpa ujian kelayakan guru dan ujian sakhsiah. Hanya dengan borang yang disediakan KPM mereka terus bergelar mahasiswa dengan alasan unjuran KPM kekurangan guru untuk 2011. 80 000 dilaporkan memohon, 5000 dipilih. Akhirnya mereka diminta mencari kerja lain!
Namun demikian isu hangat sehangat-hangatnya adalah tindakan kerajaan yang membawa 13 000 guru asing. Sememangnya tindakan ini baik demi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Namun polisi ini bukan polisi jangka panjang. Maksud di sini, ia adalah keputusan “emergency”. Maka berlakulah reality, “Kera di hutan disusukan, anak bini di rumah kelaparan dan dihina”. Menurut maklumat, gaji bagi seorang guru asing ini mencapai RM15,000 dan pada masa yang sama diberi kemudahan rumah dan kereta.
Dalam hal ini, KPM wajarlah menstrukturkan semula kursus ISMP atau tutup sahaja fakulti dan university pendidikan sekirannya ia tidak perlu. Janganlah struktur itu akan menambahkan lagi kadar pengangguran warga Malaysia yang sudah dianggarkan 400 000. Pemegang ISMP adalah amat sukar diterima oleh mana-mana majikan apabila tertera pendidikan. Alasan yang seringkali diberi, majikan menolak kerana biasanya pemegang ijazah ini biasanya akan berhenti apabila dipanggil untuk bertugas di sekolah.
Oleh yang demikian, diharapkan pihak KPM membuat tindakan serta-merta demi kebaikan graduan ISMP dan negara amnya kerana “Guru Penjana Tranformasi Negara”.
No comments:
Post a Comment