Friday, August 12, 2011

Dasar Kabotaj : Adakah Masih Relevan?

Dasar Kabotaj (Cabotage Policy) yang telah diperkenalkan bermula pada 1 Januari 1980 bertujuan untuk melindungi perkhidmatan kapal perdagangan dalam negeri. Dasar ini termaktub dalam Akta Perkapalan Saudagar (MSO 1952). Namun demikian, dalam jangkamasa hampir 31 tahun dasar ini dikuatkuasakan, ramai pihak yang meminta agar dasar ini dihapuskan. Alasan yang seringkali diberikan adalah, dasar ini telah menyebabkan harga barangan di Sabah dan Sarawak lebih mahal 1% - 20% berbanding di Semenanjung Malaysia, walaupun Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Rahim Bakri menyatakan bahawa faktor untung berlebihan yang di ambil penguasaha, yuran insuran maritin yang tinggi,dan  perkhidmatan memuat dan memungah yang tidak cekap merupakan antara penyebab mengapa harga barangan di Sabah dan Sarawak lebih mahal. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula pada masa kini dalam kempan 1Malaysia 1 Harga, lebih menumpukan usaha untuk mengurangkan jurang harga barang antara kawasan Pendalaman dengan bandar di Sabah dan Sarawak. Nampaknya, I Malaysia 1 Harga belum disasarkan di peringkat nasional - Sabah / Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

 Melalui Dasar Kabotaj ini, kapal-kapal perdagangan daripada luar negeri, tidak boleh menghantar secara terus barang-barang ke pelabuhan Sepanggar, Bintulu atau Kuching, sebaliknya kapal perdagangan tersebut perlu ke Pelabuhan Klang. Barang-barang yang diangkut itu akan diturunkan dan dimuatkan kedalam kapal-kapal tempatan dan proses penghantaran akan dijalankan. Kapal-kapal perdagangan daripada Filipina dan Australia (walaupun secara logistik, lebih dekat dan cepat jika barang-barang yang diangkut di hantar terus ke pelabuhan Sabah dan Sarawak) perlu melalui proses ini. Akhirnya, apabila ditanya mengapa harga barang di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding dengan harga di Semenanjung Malaysia, jawapannya mudah - kos pengangkutan  tinggi !

Mengikut statistik pada tahun 2009, jumlah kapal dagang tempatan yang terlibat dengan urusan "angkut-mengangkut" kontena adalah 3,400 buah kapal. Jika dilihat jumlah ini, ianya sudah cukup. Sebagai perbandingannya, Sabah hanya memerlukan 4 hingga 5 kapal yang boleh memuatkan 500 - 700 buah kontena sehari. Ini kerana purata "permintaan" kontena bagi Sabah adalah 300, 000 kontena sebulan.

Oleh yang demikian, jika kita lihat jumlah kapal dagang tempatan tersebut, kita boleh simpulkan bahawa hasrat pengwujudan Dasar Kabotaj ini telah tercapai. Pengusaha-pengusaha kapal-kapal tempatan dilindungi dan telahpun kaya-raya melalui dasar ini. Sesuai dengan konsep "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" yang telah disarankan oleh Perdana Menteri, maka sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mengubah polisi, daripada melindungi kepentingan penguasaha kapal-kapal dagang tempatan kepada melindungi rakyat Sabah dan Sarawak yang telah 31 tahun membayar harga lebih berbanding dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia. Jika ini berterusan Model Ekonomi Baru yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri sukar untuk dicapai.


No comments:

Post a Comment