Monday, February 18, 2013

Sabah Tanah Airku ......

Bahang PRU ke-13 semakin terasa. Semua kini dapat merasakannya. Daripada murid sekolah hingga ke warga emas - mendapat "tempias" daripada PRU ke-13. Masa sebulan dua ini merupakan masa yang paling sibuk bagi semua YB kita. Kini selepas masing-masing "berkelana jauh", terasa hati rindu untuk balik "kampung". Dan ... mesti ada "oleh-oleh" untuk di bawa. Kalau bukan sesuatu yang nyata, janji pun sudah memadai. Adakah ini satu rahmat kepada orang kampung?
 
Ramai pemerhati politik sependapat bahawa PRU ke-13 merupakan ibu segala PRU-PRU di negara Malaysia. Sememangnya sengit. PRU ke-12 dikira sebagai separuh masa pertama dan sudah semestinyalah PRU ke-13 adalah pelengkap kepada 90 minit! Setelah tempoh 2008-2013 digunakan sebaik mungkin (tetapi ada juga YB-YB kita yang gagal menggunakannya) baik oleh pemerintah dan pembengkang untuk mengatur 1001 macam sifat strategi - tidak kira ianya masih berpijak dalam norma kemanusiaan ataupun maha jijik. Semuanya ditujukan khas kepada PRU ke-13. Apapun semuanya telah dicanang di "bilik persalinan" masing-masing.
 
TSUNAMI POLITIK - ianya sangat sinonim dengan PRU ke-12 apabila landskap politik Negara sejak sekian lama, tiba-tiba ada "kazutan". Buat pertama kali dalam sejarah politik, BN gagal mempertahankan majority selesa 2/3 dan pembengkang berjaya memerintah Selangor, Pulau Pinang, Kedah ,Perak (walaupun akhirnya BN mengambil alih semula pemerintahan dengan konterversi) dan mengekalkan negeri Kelantan. Apa pula perkataan sinonim dengan PRU ke-13? Sama-sama kita tunggu. Semoga "pencabulan" demokrasi bukan salah satu daripadanya!
 
Berbalik kepada "angin" politik di Sabah (Negara Sabah?) ramai pemerhati, pengamal, peminat dan pejuang politik sependapat kerajaan BN yang diterajui oleh Datuk Musa Aman berada dalam keadaan "tidak selesa". Pelbagai isu seperti Tanah (NCR) hangat diperkatakan oleh ramai masyarakat kampong. Isu ini bukan isu yang "main-main" menurut seorang kawan. Seluruh Sabah bercakap mengenai perkara ini. Hujah si kawan, isu ini merupakan perkara yang sangat rapat dengan masyarakat kampong dan merupakan perkara yang maha sensitif dan boleh menjadi penyebab kepada rakyat untuk merealisasikan slogan "TUKAR", "INI KALI LA", "BANGUN"dan bukannya " JANJI DITEPATI KINI MASA BALAS BUDI" !
 
Pada masa yang sama RCI yang sedang berlangsung juga "sedia" dan "sedang" membuka kotak minda rakyat apabila satu persatu "cerita malang" dan "cerita sedih" terbongkar melalui kenyataan saksi-saksi yang terlibat dalam prosiding mahkamah. Maka sang rakyat pun bertanya - kerajaan melindungi rakyat (penduduk asal Borneo) ataupun tidak. Adakah kerana mahu mengekalkan kuasa politik, masa depan negeri Sabah diperlekehkan? Dulu "si gaman dan si inan" tidak faham semuanya. Tetapi bagaaimana dengan generasi muda? Adakah mahu terus jadi "kerbau"? Ataupun sifat "PENAKUT" untuk buat perubahan masih jadi tembok penghalang?
 
Kini "KANSER" yang dicipta oleh pemimpin-pemimpin kita siap menghancurkan Sabah. Dengan satu undi sebagai balasan bumi kita sudah digadai. "Mantan-mantan" PTI ini kini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan ORANG ASAL, baik dari aspek peluang pekerjaan, pendidikan dan juga calon pilihanraya! Aduhai ...... negeriku.
 
Persoalannya adakah dua isu ini boleh menghilangkan gelaran "fix deposit" yang diberikan untuk Sabah. Apapun DARI KITA SAJA BAITU! Salam Borneo!

Thursday, January 31, 2013

Desa Dairy Farm ..... NZ Malaysia!

Apabila di sebut sahaja Ranau, warga Sabah pasti akan mengaitkan daerah ini dengan Gunung Kinabalu, tanaman sayur-sayurannya yang segar dan keramahan majoriti suku kaum Dusun yang mendiami daerah ini. Saya sendiri berpeluang menikmatinya. Walaupun pernah menjejakkan kaki ke ke daerah ini beberapa kali (melawat Taman Negara & Air Panas Poring dan sebagainya), namun pengalaman berada di Ladang Ternakan Lembu Tenusu di Kundasang atau dikenali sebagai Desa Dairy Farm merupakan suatu yang menarik. Apabila berada di sini, saya merasakan seolah-olah berada di negara seperti New Zealand dan Australia yang terkenal dengan penternakan lembu susu. Desa Dairy Farm dapat dikunjungi dengan melalui pekan Kundasang, jarak pemanduan dalam masa 10 minit melalui jalan kecil berturap sehingga kita memasuki laluan yang tidak berturap. Untuk memasuki ladang tenusu ini bayaran RM3.00 dikenakan untuk dewasa. Selepas melewati pos bayaran, kita akan mendapati sekumpulan lembu tenusu (weaner) di biar meragut. Namun kumpulan-kumpulan lembu mempunyai kategori dalam peringkat pemerahan susu dan ladang ini sememangnya terlalu besar untuk melihat secara keseluruhannya.

Mungkin disebabkan cuaca yang "sporting", maka saya mampu melihat Gunung Kinabalu yang cantik dari sini. Kerana dikatakan untuk melihat puncak Gunung Kinabalu tanpa dilindungi kabus adalah antara jam 7:00 pagi hingga 8:00 pagi tertakluk pada cuaca yang cerah kerana udara yang amat dingin amat cepat menghasilkan kabus di persekitaran kaki gunung malah di puncak gunung.
Disini saya juga berpeluang melihat proses pemerahan susu (jika sesuai dengan jadual perahan susu) dengan bantuan teknologi terkini. Tiada lagi tenaga manusia yang duduk mencangkung memerah susu lembu secara manual seperti di dahulu. Kita juga boleh membeli susu segar yang telah dikotakkan dengan perisa susu dan coklat. Lazat dan semestinya berkrim! Bila menikmati susu segar ini, saya teringat semasa saya bersekolah rendah dahulu, kami dapat menikmati susu segar setiap hari! (Rindunya dengan kawan-kawan semasa di SK Pekan, Keningau)
 
Menurut kakitangan Desa Dairy Farm, hanya seekor lembu jantan yang mengepalai 100 ekor lembu betina termasuklah dengan tugas mengawan untuk melahirkan generasi baru lembu tenusu. Baka lembu ini berasal dari Australia dan New Zealand adalah khas untuk lembu tenusu tanah tinggi yang berhawa sejuk. Terdapat juga ladang lembu tenusu di Sandakan tetapi berbeza kerana lembu-lembu tenusu tersebut adalah untuk hawa panas sederhana Kepada yang belum berpeluang ke sini, datanglah!