Thursday, January 31, 2013

Desa Dairy Farm ..... NZ Malaysia!

Apabila di sebut sahaja Ranau, warga Sabah pasti akan mengaitkan daerah ini dengan Gunung Kinabalu, tanaman sayur-sayurannya yang segar dan keramahan majoriti suku kaum Dusun yang mendiami daerah ini. Saya sendiri berpeluang menikmatinya. Walaupun pernah menjejakkan kaki ke ke daerah ini beberapa kali (melawat Taman Negara & Air Panas Poring dan sebagainya), namun pengalaman berada di Ladang Ternakan Lembu Tenusu di Kundasang atau dikenali sebagai Desa Dairy Farm merupakan suatu yang menarik. Apabila berada di sini, saya merasakan seolah-olah berada di negara seperti New Zealand dan Australia yang terkenal dengan penternakan lembu susu. Desa Dairy Farm dapat dikunjungi dengan melalui pekan Kundasang, jarak pemanduan dalam masa 10 minit melalui jalan kecil berturap sehingga kita memasuki laluan yang tidak berturap. Untuk memasuki ladang tenusu ini bayaran RM3.00 dikenakan untuk dewasa. Selepas melewati pos bayaran, kita akan mendapati sekumpulan lembu tenusu (weaner) di biar meragut. Namun kumpulan-kumpulan lembu mempunyai kategori dalam peringkat pemerahan susu dan ladang ini sememangnya terlalu besar untuk melihat secara keseluruhannya.

Mungkin disebabkan cuaca yang "sporting", maka saya mampu melihat Gunung Kinabalu yang cantik dari sini. Kerana dikatakan untuk melihat puncak Gunung Kinabalu tanpa dilindungi kabus adalah antara jam 7:00 pagi hingga 8:00 pagi tertakluk pada cuaca yang cerah kerana udara yang amat dingin amat cepat menghasilkan kabus di persekitaran kaki gunung malah di puncak gunung.
Disini saya juga berpeluang melihat proses pemerahan susu (jika sesuai dengan jadual perahan susu) dengan bantuan teknologi terkini. Tiada lagi tenaga manusia yang duduk mencangkung memerah susu lembu secara manual seperti di dahulu. Kita juga boleh membeli susu segar yang telah dikotakkan dengan perisa susu dan coklat. Lazat dan semestinya berkrim! Bila menikmati susu segar ini, saya teringat semasa saya bersekolah rendah dahulu, kami dapat menikmati susu segar setiap hari! (Rindunya dengan kawan-kawan semasa di SK Pekan, Keningau)
 
Menurut kakitangan Desa Dairy Farm, hanya seekor lembu jantan yang mengepalai 100 ekor lembu betina termasuklah dengan tugas mengawan untuk melahirkan generasi baru lembu tenusu. Baka lembu ini berasal dari Australia dan New Zealand adalah khas untuk lembu tenusu tanah tinggi yang berhawa sejuk. Terdapat juga ladang lembu tenusu di Sandakan tetapi berbeza kerana lembu-lembu tenusu tersebut adalah untuk hawa panas sederhana Kepada yang belum berpeluang ke sini, datanglah!